Gara-gara tindakan bekas vokalis Mojo, Aweera yang lantang mengeluarkan kenyataan mendakwa Edry berdrama bagi meraih perhatian masyarakat ketika persembahan di AJL29 tempoh hari, Edry selaku ketua kumpulan memandang serius perkara ini dan mengumumkan bakal mengambil tindakan undang-undang kepada Aweera.  
 
“Apa yang saya boleh cakapkan di sini, pihak kami akan mengeluarkan surat peguam dalam masa terdekat. Jangan kerana mulut, badan pula binasa.
 

“Saya tidak faham kenapa dia perlu bertindak begitu, kenapa sikapnya seolah-olah hendak lihat Mojo gagal (dalam bidang nyanyian). Menerusi kenyataan-kenyataannya, dia tidak habis-habis hendak merendahkan kami,” ujar Edry yang dipetik menerusi Harian Metro. 
 
Dalam pada itu, Edry turut menambah keputusan tersebut diambil kerana bengang dengan sikap Aweera yang asyik mengkritik dan merendahkan dirinya dan kumpulan MOJO menerusi media.
 
Untuk rekod, berikutan perselisihan faham yang terjadi antara Aweera dan Mojo menyebabkan kumpulan ini mengunakan khidmat Caliph Buskers sebagai penyanyi lagu Romancinta di pentas akhir AJL29 sehingga berjaya memenangi persembahan terbaik pada malam itu.
 
Tindakan ini menyebabkan Caliph Buskers meraih populariti dalam sekelip mata hingga menjadi perbualan masyarakat Malaysia.